Aktiviti akan datang!

Kejohanan Ping Pong bagi Penduduk Kampong Pelambayan kali ke-4
seterusnya...

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI 2010

| AdminPelambayan

Semoga dengan lembaran baru kita dapat mengisinya dengan lukisan-lukisan yang lebih baik dibanding lembaran ditahun yang lalu

Ikhlas Dari
AdminPelambayan

Tags: |

KELEBIHAN BULAN MUHARRAM

| AdminPelambayan

PENGENALAN


MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.


AMALAN SUNAT PADA BULAN MUHARRAM

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali.
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali.

PERKARA-PERKARA SUNAT DILAKUKAN PADA HARI ASYURA (10 MUHARRAM)

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah swt".
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Tags: , |

WALKATON AMAL BAGI MENGUTIP DERMA ANAK-ANAK YATIM KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan

Walkaton Amal ini bertujuan untuk mengutip derma bagi Anak-Anak Yatim Kampong Pelambayan. Aktiviti ini sepatutnya dijalankan pada petengahan tahun 2009, tetapi oleh kerana Influenza H1N1, aktiviti ini ditunda hingga 13 Disember 2009 yang lalu. Namun begitu, kutipan derma telah diterima sejak dari pertengahan bulan lagi.

sila masuk ke Galeri Aktiviti bagi melihat gambar selanjutnya

Tags: , |

TAHUN BARU HIJRAH 1431

| AdminPelambayan


Selamat Tahun Baru Hijrah 1431 kepada semua umat islam di Negara Brunei Darussalam dan umat islam di seluruh dunia.

Semoga 1430h membawa seribu kenangan dan pengajaran yang berguna bagi kita menghadapi cabaran dan rintangan di tahun baru 1431h.

Ikhlas Dari
AdminPelambayan

Tags: , |

HARI RAYA AIDILADHA

| AdminPelambayan

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha 1430h

Ikhlas dari
AdminPelambayan

Tags: |

MAJLIS MERAIKAN WARGA EMAS KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan

Acara bagi Majlis Meraikan Warga Emas Kampong Pelambayan akan diadakan pada Hari Jumaat 27 Syawal 1430 bersamaan dengan 16 Oktober 2009. Acara yang mengambil tempat di kawasan rumah Ketua Kampong ini akan dimulai pada kira-kira jam 2.30 petang.

Antara tujuan Majlis ini diadakan adalah untuk mengingati jasa-jasa warga emas yang tinggal di Kampong Pelambayan. Majlis ini akan dimuatkan didalam program tahunan bagi Kampong Pelambayan.

Sila masuk ke Galeri Aktiviti untuk melihat gambar yang diambil semasa Majlis diadakan.


SENIOR CITIZEN'S SECRET TO LONG LIFE IS HEALTHY FOOD

THE secret of living a long life lies entirely on the intake of healthy food. This was the words of wisdom shared by the oldest person living in Kampong Pelambayan, Dayang Damit binti Bagol who is 93-years-old.

The grandmother said, “My secret for long life is eating steamed food. Steamed food is healthy and most important of all, it is not greasy.”

The elderly lady is still healthy and in good shape. According to her family members, she can still walk five blocks in order to get to the mosque to pray everyday.

Dayang Damit binti Bagol was one of four recipients of the oldest senior citizen of Pelambayan village honoured in a ceremony that aimed to celebrate Hari Raya with senior citizens from the village. The other three recipients are 90-year-old Dayang hjh Safiah binti Jamudin, Awang Hj chuchu bin Jaafar and Hj Moktal bin Shamsuddin who are both 86 years of age.

The guest of honour presenting the gifts was the Assistant Brunei Muara District Officer, Awang Haji Haris Bin Othman. Also present during the cermony was the Deputy Permanent Secretary (Policy and Administration) of Finance, Awang Hj Roselan bin Hj Mohd Daud, as well as the head of Pelambayan village, Awang Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Hj Junit, along with village and mukim consultative council members.

Petikan dari Borneo Bulletin Online oleh James Kon, Sabtu 17 Oktober 2009

Tags: |

PERUNTUKAN $220,000 BAGI AKTIVITI MUKIM DAN KAMPUNG

| AdminPelambayan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Majlis Penganugerahan Kampung Cemerlang Peringkat Kebangsaan di bawah Projek Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) Majlis Perundingan Kampung akan diadakan pada Februari 2010, manakala peruntukan kewangan bagi aktiviti Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi tahun kewangan 2009/2010 adalah sebanyak $220,000.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Mohd Yusof berkata Projek AKC itu sudah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Negara Brunei Darussalam menyatakan peruntukan yang diluluskan kerajaan itu adalah 10 peratus lebih banyak daripada peruntukan kewangan 2008/2009 yang sebanyak $200,000.

Beliau mengumumkan mengenainya ketika merasmikan sesi pertama majlis perjumpaan dan sesi dialog anggota lembaga pengelola majlis perundingan mukim dan kampung bersama penghulu mukim dan ketua kampung serta anggota majlis perundingan mukim dan kampung bagi daerah Brunei dan Muara 2009 hari ini di Dewan Serba guna Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Pada dialog yang dihadiri anggota Majlis Perundingan Mukim Saba, Sungai Kebun, Peramu, Burong Pingai, Tamoi/Sungai Kedayan, Kianggeh, Serasa dan Kota Batu serta majlis perundingan kampung di bawahnya itu beliau mendedahkan pemenang AKC akan menerima wang tunai, bantuan bagi projek pembangunan dan kesejahteraan, piala, plak dan sijil.

Menurutnya Projek AKC yang mempunyai tujuh objektif utama itu diharap untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan masyarakat kampung melalui majlis perundingan mukim dan kampung untuk membawa perubahan, kemajuan dan pembangunan kampung ke mercu kecemerlangan.

Beliau menyatakan salah satu objektifnya ialah untuk mempertingkatkan amalan kerjasama, semangat bergotong-royong, berinisiatif dan pembabitan aktif seluruh penduduk kampung ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu, berdisiplin, kreatif dan produktif.

Objektif lain termasuk sebagai pemangkin pembangunan dan kemajuan bagi kesejahteraan masyarakat kampung yang berdaya maju dan berdaya tahan, membudayakan sikap "Bantu Diri dan Sara Diri" dalam masyarakat dan menyemai nilai murni dan positif ke arah mewujudkan persekitaran kampung yang mesra alam, bersih, indah, ceria dan menarik, ujarnya.

Selain itu projek berkenaan juga dapat menggalakkan projek perekonomian dalam merealisasikan "Satu Kampung Satu Produk", meningkatkan martabat dan memberi pengiktirafan dan galakan kepada majlis perundingan kampung dan penduduk kampung, katanya lagi.

Perjumpaan di daerah Brunei dan Muara itu diadakan dalam dua 2 sesi iaitu satu sesi pada pagi hari ini yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Dato Paduka Haji Mohd Yussop Bakar dan satu sesi lagi dijangka pada 13 Mei depan.

Dato Paduka Haji Mohd Yussop dalam ucapan alu-aluannya berkata perjumpaan itu adalah satu kesempatan serta ruang istimewa bagi anggota majlis perundingan mengemukakan pandangan dan saranan yang kemudiannya dapat dijawab oleh anggota Lembaga Pengelola dan wakil yang dijemput.

Beliau mendedahkan sepanjang 2008, majlis perundingan mukim dan kampung di daerah itu dapat melaksanakan kalendar program kerja mereka berjumlah 984 program kerja dengan peruntukan sebahagian program itu kira-kira $93,433 disumbangkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Petikan dari Media Permata online oleh Hasrulraizan, Khamis 30 April 2009

Tags: |

WALKATON SEMPENA JUBLI PERAK MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan

KOTA BATU, Ahad, 26 April. – Kira-kira 100 orang terdiri daripada penduduk Kampong Pelambayan dan Kampong Dato Ghandi serta pegawai-pegawai masjid menyertai acara walkaton sempena sambutan Jubli Perak Masjid Kampong Pelambayan hari ini.

Acara walkaton sejauh kira-kira tiga kilometer yang bermula dan berakhir di kawasan masjid berkenaan berjalan menuju ke kawasan Jambatan Queen Elizabeth, Kampong Dato Ghandi dan berpatah balik.

Turut hadir menyertai acara walkaton selaku tetamu kehormat ialah Penasihat Bersama Sambutan Jubli Perak Masjid Kampong Pelambayan, Awang Mohiddin bin Haji Md. Daud.

Masjid yang boleh menampung sehingga 500 jemaah itu telah dibina pada tahun 1983 dan dibuka rasmi pada 20 April 1984 oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Paduka Haji Awang Hussain bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Laila Utama Haji Awang Mohd. Yussof.

Tapak tanah masjid yang terletak berdekatan dengan Muzium Teknologi Melayu itu telah diwaqafkan oleh Allahyarham Awang Haji Ibrahim bin Pehin Orang Kaya Perdana Wangsa Haji Mohammed.


Petikan dari Pelita Brunei Online oleh
Bolhassan Hj. Abu Bakar, Isnin 27 April 2009

Tags: |

MAKSUD BACAAN TALKIN

| AdminPelambayan

Sekadar untuk mengingatkan kita bahawa mati itu pasti, dan janji-janji Allah itu amat pasti terjadi.Sesungguhnya hanya amalan baik yang kita lakukan selama hidup di dunia yang akan menjadi penyelamat, insyaAllah. WALLAHU A'LAAMM.

Ketahuilah manusia, setiap yang bernafas pasti akan menemui mati - "kullu nafsin za iqatul maut"

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang maha besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali mengadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir. Maka janganlah kamu berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad Rasulullah saw nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar dan syurga dan neraka adalah benar. Bahawasanya hari kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang didalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut"

Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."
Surah Al-A'sr .

Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur "masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN" dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

Bertanya orang kepada Rasulullah saw : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?"

Maka jawabnya Rasulullah saw "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'."

Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu "itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN" mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian" Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hambaKu.Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati, iaitu;

1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8 . Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman.

Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda Rasulullah saw:

Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:

" Wahai Ridhwan , sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hambaKu berpuasa ( ahli puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga."

"Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi.

Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaiman yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud;

"Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."

Tags: |

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN, TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA JUBLI PERAK MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Menteri Kewangan II, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim hari ini menghadiri majlis membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Jubli Perak Penubuhan Masjid Kampung Pelambayan.

Beliau yang turut bersama mendirikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak juga berkesudian menyempurnakan majlis menandatangani plak kenangan Jubli Perak Masjid Kampung Pelambayan itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran setelah selesainya sembahyang Fardu Maghrib yang kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah bagi majlis sambutan Jubli Perak Masjid berkenaan oleh Imam Masjid itu Haji Shahbirin Haji Mohd Noor.

Ucapan Pengerusi Majlis iaitu Ketua Imam Masjid Kampung Pelambayan Haji Sumardi Haji Mohamad menyusuli sebelum diteruskan dengan ceramah yang disempurnakan Haji Ismail Md Arif.

Majlis itu disertai Jawatankuasa Takmir Masjid berkenaan serta jemaah masjid yang antaranya adalah penduduk di sekitar Kampung Pelambayan termasuk juga penglibatan belia remaja kampung itu.

Sempena dengan sambutan Jubli Perak Penubuhan Masjid Kampung Pelambayan itu masjid berkenaan menganjurkan pelbagai acara sampingan antaranya adalah Kuiz Jubli bermula 20-24 April dan Walkaton Jubli Perak pada 26 April.

Masjid itu juga akan mengadakan Peraduan Menghafaz Ayat Lazim bagi kanak-kanak dan membaca Surah Yasin Muratal terbuka dan Peraduan Masakan dan Gubahan Bunga Terbuka kepada penduduk Kampung Pelambayan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Petikan dari Media Permata Online Oleh Mohamad Asyramisyanie, Selasa 21 April 2009

Tags: |

MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan

Menyingkap sejarah penubuhan Masjid Kampong Pelambayan

Masjid Kampong Pelambayan terletak kira-kira 6km dari Bandar Seri Begawan. Masjid ini dibina pada 22hb. September, 1983 di atas tapak tanah seluas 0.75 ekar dan siap pada bulan Februari 1984 dengan perbelanjaan sebanyak $450,000.00.

Masjid ini dibuka rasmi oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Paduka Haji Awang Hussain bin Pehin Orang Kaya Seri Diraja Haji Awang Mohd. Yusof, Pengarah Kebajikan, Belia dan Sukan (1984) pada Hari Jumaat, 19 Rajab 1404 bersamaan dengan 20 April 1984. Kapasiti masjid ini boleh menampung seramai 600 orang jemaah.

Sumber maklumat dari Kementerian Hal Ehwal Ugama

Tags: |

SAMBUTAN JUBLI PERAK MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan

Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak Masjid Kampong Pelambayan Tahun 2009 sukacita menjemput dan mengalu-alukan penduduk-penduduk Kampong Pelambayan, Kampong Dato Gandi, Kampong Kota Batu dan sekitarnya untuk hadir bagi meramaikan dan memeriahkan lagi Majlis yang diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Masjid Kampong Pelambayan pada:

Majlis Membaca Yassin, Tahlil dan Doa Kesyukuran
Hari Isnin, 20 April 2009 mulai jam 6.00 petang

Walkaton Jubli
Hari Ahad, 26 April 2009 kira-kira jam 6.00 pagi bertempat di kawasan Masjid Kampong Pelambayan.


Walkaton Jubli akan dimulai dengan sesi pemanasan dan senamaerobik dan seterusnya berjalan dari Masjid Kampong Pelambayan menuju ke Jambatan Queen Kampong Datu Gandi dan akan berakhir di Masjid Kampong Pelambayan.

***Kepada yang berhajat untuk menyumbangkan atau menghulurkan derma seangkat-angkat hati bagi majlis yang akan diadakan bolehlah menyerahkan kepada pegawai-pegawai masjid yang bertugas.

Diatas kehadiran dan apa jua sumbangan yang akan atau telah dihulurkan, semoga mendapat rahmat dan ganjaran dari Allah Subahanahu Wataala jua. Amin Ya Rabbal Alamin..

Sekian terima kasih dan untuk makluman bersama.

Tags: , |

KULIAH BERSAMA MUFTI DI MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


PELAMBAYAN, Jumaat, 6 Februari.- Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abd. Aziz berkata antara mungkar yang paling merbahaya ialah mungkar orang yang menukar agama dari Islam kepada agama lain.

Mungkar jenis ini menurut Yang Berhormat, adalah umpama semut halus yang tidak nampak dengan jelas pada pandangan kasar tetapi ada dan berlaku.

Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut semasa Kuliah Bersama Mufti yang di adakan di Masjid Kampong Pelambayan, sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh di sini.

Terang Yang Berhormat, ulama berkata sesiapa yang menderhakai Allah secara bersembunyi-sembunyi dan berlagak takwa di hadapan manusia sesungguhnya Su’ al-Khatimah iaitu mati di luar iman adalah kesudahannya.

Jelas Mufti Kerajaan lagi, Su’ al-Khatimah bererti kesudahan yang buruk iaitu mati di luar iman, mati di luar Islam, ertinya mati kufur.

“Orang yang mati di dalam kufur tempatnya tidak lain ialah neraka jahanam dan kerana itu orang-orang salih dan orang-orang ‘arif billah sangat takut dan gerun akan Su’ al-Khatimah.

Menyentuh tentang melakukan amal ibadat, Yang Berhormat mengingatkan kita agar jangan membilang-bilang ibadat tersebut iaitu jangan mengira-mengira ibadat kita itu sebagai sudah banyak atau cukup banyak untuk menghadapi Allah Ta’ala kerana sebanyak manapun amal ibadat kita itu tegas Mufti Kerajaan lagi ianya masih amat sedikit nisbahnya dengan nikmat serta rahmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita.

Oleh itu tekan Yang Berhormat, berapa pun banyaknya jumlah ibadat kita, malah sampai bila-bila pun tidak akan mungkin cukup untuk membayar nikmat dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala kerana nikmat Allah itu terlalu banyak sehingga tidak dapat di hitung.

Ke arah itu, apa yang lebih penting saran Yang Berhormat ialah agar kita terus beribadat, berbuat taat, melakukan suruhan-suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya kerana inilah saja tugas kita, tugas asasi dan tugas orang-orang beriman.Sesi Kuliah Bersama Mufti seterusnya akan diadakan di Masjid Kampong Tanah Jambu pada 13 Februari akan datang.

Petikan dari Pelita Brunei Online oleh Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Jumaat 6 Februari 2009

Tags: |

PERANAN MAJLIS PERUNDINGAN MUKIM DAN KAMPONG

| AdminPelambayan


Mengadakan Permuzakarahan dan perundingan dari masa ke semasa demi untuk mempertingkatkan lagi kesejahteraan, kebajikan dan termasuklah juga bagi menangani apa jua isu atau masalah seperti kegiatan-kegiatan yang berunsurkan negatif dan boleh menjejaskan perpaduan, keharmonian, keselamatan, ketenteraman kampong atau mukim masing-masing

Sentiasa bersama-sama berperanan dalam memeduli kesejahteraan dan kebajikan golongan-golongan yang dhaif, termasuk dikalangan anak-anak yatim dan warga emas yang memerlukan bantuan, disamping bekerjasama secara bersepadu dengan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, swasta dan juga NGOs.

Tags: |

MAJLIS PERLANTIKAN KETUA KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


Awang Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit dilantik menjadi ketua Kampong Pelambayan yang baru bermula pada 1 Jun yang lalu.

Beliau yang berusia 48 tahun dan pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan bakal memimpin seramai hampir seribu anak buah kampung.

Awang Haji Hanipah yang menerima sijil perlantikan sebagai ketua kampung disempurnakan penyerahannya oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Awang Haji Adanan di rumah kediamannya di sini.
Dato Paduka Awang Haji Adnan dalam ucapannya di majlis itu menegaskan kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung supaya melengkapkan diri mereka dengan sikap yang positif, di samping komited ke atas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Selain memastikan penduduk kampung hidup dalam keadaan aman dan harmoni penghulu dan ketua-ketua kampung juga di ingatkan untuk menyampaikan masalah atau keperluan anak buah kampung kepada pihak-pihak berkenaan.

Petikan dari Pelita Brunei Online, Jumaat 1 September 2006

Tags: |