Aktiviti akan datang!

Kejohanan Ping Pong bagi Penduduk Kampong Pelambayan kali ke-4
seterusnya...

KULIAH BERSAMA MUFTI DI MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


PELAMBAYAN, Jumaat, 6 Februari.- Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abd. Aziz berkata antara mungkar yang paling merbahaya ialah mungkar orang yang menukar agama dari Islam kepada agama lain.

Mungkar jenis ini menurut Yang Berhormat, adalah umpama semut halus yang tidak nampak dengan jelas pada pandangan kasar tetapi ada dan berlaku.

Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut semasa Kuliah Bersama Mufti yang di adakan di Masjid Kampong Pelambayan, sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh di sini.

Terang Yang Berhormat, ulama berkata sesiapa yang menderhakai Allah secara bersembunyi-sembunyi dan berlagak takwa di hadapan manusia sesungguhnya Su’ al-Khatimah iaitu mati di luar iman adalah kesudahannya.

Jelas Mufti Kerajaan lagi, Su’ al-Khatimah bererti kesudahan yang buruk iaitu mati di luar iman, mati di luar Islam, ertinya mati kufur.

“Orang yang mati di dalam kufur tempatnya tidak lain ialah neraka jahanam dan kerana itu orang-orang salih dan orang-orang ‘arif billah sangat takut dan gerun akan Su’ al-Khatimah.

Menyentuh tentang melakukan amal ibadat, Yang Berhormat mengingatkan kita agar jangan membilang-bilang ibadat tersebut iaitu jangan mengira-mengira ibadat kita itu sebagai sudah banyak atau cukup banyak untuk menghadapi Allah Ta’ala kerana sebanyak manapun amal ibadat kita itu tegas Mufti Kerajaan lagi ianya masih amat sedikit nisbahnya dengan nikmat serta rahmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita.

Oleh itu tekan Yang Berhormat, berapa pun banyaknya jumlah ibadat kita, malah sampai bila-bila pun tidak akan mungkin cukup untuk membayar nikmat dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala kerana nikmat Allah itu terlalu banyak sehingga tidak dapat di hitung.

Ke arah itu, apa yang lebih penting saran Yang Berhormat ialah agar kita terus beribadat, berbuat taat, melakukan suruhan-suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya kerana inilah saja tugas kita, tugas asasi dan tugas orang-orang beriman.Sesi Kuliah Bersama Mufti seterusnya akan diadakan di Masjid Kampong Tanah Jambu pada 13 Februari akan datang.

Petikan dari Pelita Brunei Online oleh Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Jumaat 6 Februari 2009

Tags: |

PERANAN MAJLIS PERUNDINGAN MUKIM DAN KAMPONG

| AdminPelambayan


Mengadakan Permuzakarahan dan perundingan dari masa ke semasa demi untuk mempertingkatkan lagi kesejahteraan, kebajikan dan termasuklah juga bagi menangani apa jua isu atau masalah seperti kegiatan-kegiatan yang berunsurkan negatif dan boleh menjejaskan perpaduan, keharmonian, keselamatan, ketenteraman kampong atau mukim masing-masing

Sentiasa bersama-sama berperanan dalam memeduli kesejahteraan dan kebajikan golongan-golongan yang dhaif, termasuk dikalangan anak-anak yatim dan warga emas yang memerlukan bantuan, disamping bekerjasama secara bersepadu dengan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, swasta dan juga NGOs.

Tags: |

MAJLIS PERLANTIKAN KETUA KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


Awang Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit dilantik menjadi ketua Kampong Pelambayan yang baru bermula pada 1 Jun yang lalu.

Beliau yang berusia 48 tahun dan pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan bakal memimpin seramai hampir seribu anak buah kampung.

Awang Haji Hanipah yang menerima sijil perlantikan sebagai ketua kampung disempurnakan penyerahannya oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Awang Haji Adanan di rumah kediamannya di sini.
Dato Paduka Awang Haji Adnan dalam ucapannya di majlis itu menegaskan kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung supaya melengkapkan diri mereka dengan sikap yang positif, di samping komited ke atas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Selain memastikan penduduk kampung hidup dalam keadaan aman dan harmoni penghulu dan ketua-ketua kampung juga di ingatkan untuk menyampaikan masalah atau keperluan anak buah kampung kepada pihak-pihak berkenaan.

Petikan dari Pelita Brunei Online, Jumaat 1 September 2006

Tags: |