KULIAH BERSAMA MUFTI DI MASJID KAMPONG PELAMBAYAN
| AdminPelambayan
Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut semasa Kuliah Bersama Mufti yang di adakan di Masjid Kampong Pelambayan, sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh di sini.
Terang Yang Berhormat, ulama berkata sesiapa yang menderhakai Allah secara bersembunyi-sembunyi dan berlagak takwa di hadapan manusia sesungguhnya Su’ al-Khatimah iaitu mati di luar iman adalah kesudahannya.
Jelas Mufti Kerajaan lagi, Su’ al-Khatimah bererti kesudahan yang buruk iaitu mati di luar iman, mati di luar Islam, ertinya mati kufur.
“Orang yang mati di dalam kufur tempatnya tidak lain ialah neraka jahanam dan kerana itu orang-orang salih dan orang-orang ‘arif billah sangat takut dan gerun akan Su’ al-Khatimah.
Menyentuh tentang melakukan amal ibadat, Yang Berhormat mengingatkan kita agar jangan membilang-bilang ibadat tersebut iaitu jangan mengira-mengira ibadat kita itu sebagai sudah banyak atau cukup banyak untuk menghadapi Allah Ta’ala kerana sebanyak manapun amal ibadat kita itu tegas Mufti Kerajaan lagi ianya masih amat sedikit nisbahnya dengan nikmat serta rahmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita.
Oleh itu tekan Yang Berhormat, berapa pun banyaknya jumlah ibadat kita, malah sampai bila-bila pun tidak akan mungkin cukup untuk membayar nikmat dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala kerana nikmat Allah itu terlalu banyak sehingga tidak dapat di hitung.
Ke arah itu, apa yang lebih penting saran Yang Berhormat ialah agar kita terus beribadat, berbuat taat, melakukan suruhan-suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya kerana inilah saja tugas kita, tugas asasi dan tugas orang-orang beriman.Sesi Kuliah Bersama Mufti seterusnya akan diadakan di Masjid Kampong Tanah Jambu pada 13 Februari akan datang.Petikan dari Pelita Brunei Online oleh Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Jumaat 6 Februari 2009