Aktiviti akan datang!

Kejohanan Ping Pong bagi Penduduk Kampong Pelambayan kali ke-4
seterusnya...

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN, TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA JUBLI PERAK MASJID KAMPONG PELAMBAYAN

| AdminPelambayan


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Menteri Kewangan II, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim hari ini menghadiri majlis membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Jubli Perak Penubuhan Masjid Kampung Pelambayan.

Beliau yang turut bersama mendirikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak juga berkesudian menyempurnakan majlis menandatangani plak kenangan Jubli Perak Masjid Kampung Pelambayan itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran setelah selesainya sembahyang Fardu Maghrib yang kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah bagi majlis sambutan Jubli Perak Masjid berkenaan oleh Imam Masjid itu Haji Shahbirin Haji Mohd Noor.

Ucapan Pengerusi Majlis iaitu Ketua Imam Masjid Kampung Pelambayan Haji Sumardi Haji Mohamad menyusuli sebelum diteruskan dengan ceramah yang disempurnakan Haji Ismail Md Arif.

Majlis itu disertai Jawatankuasa Takmir Masjid berkenaan serta jemaah masjid yang antaranya adalah penduduk di sekitar Kampung Pelambayan termasuk juga penglibatan belia remaja kampung itu.

Sempena dengan sambutan Jubli Perak Penubuhan Masjid Kampung Pelambayan itu masjid berkenaan menganjurkan pelbagai acara sampingan antaranya adalah Kuiz Jubli bermula 20-24 April dan Walkaton Jubli Perak pada 26 April.

Masjid itu juga akan mengadakan Peraduan Menghafaz Ayat Lazim bagi kanak-kanak dan membaca Surah Yasin Muratal terbuka dan Peraduan Masakan dan Gubahan Bunga Terbuka kepada penduduk Kampung Pelambayan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Petikan dari Media Permata Online Oleh Mohamad Asyramisyanie, Selasa 21 April 2009

Tags: |