Aktiviti akan datang!

Kejohanan Ping Pong bagi Penduduk Kampong Pelambayan kali ke-4
seterusnya...

PERUNTUKAN $220,000 BAGI AKTIVITI MUKIM DAN KAMPUNG

| AdminPelambayan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Majlis Penganugerahan Kampung Cemerlang Peringkat Kebangsaan di bawah Projek Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) Majlis Perundingan Kampung akan diadakan pada Februari 2010, manakala peruntukan kewangan bagi aktiviti Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi tahun kewangan 2009/2010 adalah sebanyak $220,000.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Mohd Yusof berkata Projek AKC itu sudah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Negara Brunei Darussalam menyatakan peruntukan yang diluluskan kerajaan itu adalah 10 peratus lebih banyak daripada peruntukan kewangan 2008/2009 yang sebanyak $200,000.

Beliau mengumumkan mengenainya ketika merasmikan sesi pertama majlis perjumpaan dan sesi dialog anggota lembaga pengelola majlis perundingan mukim dan kampung bersama penghulu mukim dan ketua kampung serta anggota majlis perundingan mukim dan kampung bagi daerah Brunei dan Muara 2009 hari ini di Dewan Serba guna Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Pada dialog yang dihadiri anggota Majlis Perundingan Mukim Saba, Sungai Kebun, Peramu, Burong Pingai, Tamoi/Sungai Kedayan, Kianggeh, Serasa dan Kota Batu serta majlis perundingan kampung di bawahnya itu beliau mendedahkan pemenang AKC akan menerima wang tunai, bantuan bagi projek pembangunan dan kesejahteraan, piala, plak dan sijil.

Menurutnya Projek AKC yang mempunyai tujuh objektif utama itu diharap untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan masyarakat kampung melalui majlis perundingan mukim dan kampung untuk membawa perubahan, kemajuan dan pembangunan kampung ke mercu kecemerlangan.

Beliau menyatakan salah satu objektifnya ialah untuk mempertingkatkan amalan kerjasama, semangat bergotong-royong, berinisiatif dan pembabitan aktif seluruh penduduk kampung ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu, berdisiplin, kreatif dan produktif.

Objektif lain termasuk sebagai pemangkin pembangunan dan kemajuan bagi kesejahteraan masyarakat kampung yang berdaya maju dan berdaya tahan, membudayakan sikap "Bantu Diri dan Sara Diri" dalam masyarakat dan menyemai nilai murni dan positif ke arah mewujudkan persekitaran kampung yang mesra alam, bersih, indah, ceria dan menarik, ujarnya.

Selain itu projek berkenaan juga dapat menggalakkan projek perekonomian dalam merealisasikan "Satu Kampung Satu Produk", meningkatkan martabat dan memberi pengiktirafan dan galakan kepada majlis perundingan kampung dan penduduk kampung, katanya lagi.

Perjumpaan di daerah Brunei dan Muara itu diadakan dalam dua 2 sesi iaitu satu sesi pada pagi hari ini yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Dato Paduka Haji Mohd Yussop Bakar dan satu sesi lagi dijangka pada 13 Mei depan.

Dato Paduka Haji Mohd Yussop dalam ucapan alu-aluannya berkata perjumpaan itu adalah satu kesempatan serta ruang istimewa bagi anggota majlis perundingan mengemukakan pandangan dan saranan yang kemudiannya dapat dijawab oleh anggota Lembaga Pengelola dan wakil yang dijemput.

Beliau mendedahkan sepanjang 2008, majlis perundingan mukim dan kampung di daerah itu dapat melaksanakan kalendar program kerja mereka berjumlah 984 program kerja dengan peruntukan sebahagian program itu kira-kira $93,433 disumbangkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Petikan dari Media Permata online oleh Hasrulraizan, Khamis 30 April 2009

Tags: |